Kenali Diriku

Kenali Diriku
Transformasi Diriku

Friday, September 18, 2009

Amalan Sunnah Di Hari Raya

Di dalam Islam hanya ada dua perayaan yang disyariatkan; 'Eidul Fitri dan 'Eidul Adha. Anas bin Malik r.a berkata, “Tatkala Nabi s.a.w datang ke Madinah, penduduk Madinah memiliki dua hari untuk bergembira sebagaimana di waktu jahiliyyah, lalu beliau bersabda, "Aku datang kepada kalian, dan kalian memiliki dua hari raya untuk bergembira sebagaimana di waktu jahiliyyah. Dan sesungguhnya Allah telah mengganti keduanya dengan yang lebih baik; 'Eidul Adha dan 'Eidul Fitri’.” (Hadith Sohih: Riwayat Ahmad, Abu Dawud dan Nasa’i)

Berikut ini beberapa amalan-amalan sunnah yang dilakukan oleh Rasulullah pada hari raya:-

1) Mandi sunat hari raya sebelum keluar menunaikan solat sunat hari raya.

Sebagaimana salah seorang sahabat Rasulullah s.a.w, iatu ‘Ali bin Abi Thalib, ketika ditanya tentang bilakah mandi yang disunnahkan oleh Rasulullah s.a.w. Beliau menjawab: “(Mandi yang disunnahkan) pada hari Jumaat, hari ‘Arafah, hari raya 'Eidul Fitri, dan 'Eidul Adha.” (Lihat Al Wajiz, hal 47).

Ulama besar Tabien Said Bin Jubayr berkata : "Tiga perkara sunnah di hari raya; mandi sunat sebelum keluar solat hari raya".

2) Memakai pakaian terbaik yang ada.

Imam Ibnul Qayyim berkata dalam Zaadul Ma’ad, “Nabi memakai pakaian terbaiknya untuk solat hari raya. Beliau mempunyai pakaian khusus untuk solat 'eid (hari raya) dan solat Jumaat…”

Walaupun demikian, perlulah mengikut kemampuan dan tiada pembaziran dibenarkan. Tidak dibenarkan untuk menghina pakaian orang lain yang kurang indah dan murah (kecuali pakaian seksi dan tidak menutup aurat memang diharamkan di dalam Islam). Perlu diperhatikan, bahawa pakaian yang terbaik dan bagus bukan bererti pakaian yang baru! Perkara ini perlu disampaikan kerana ada anggapan yang salah yang menyusahkan sebahagian masyarakat yang berekonomi rendah.

3) Menjamah makanan sebelum/selepas keluar.

Ia berdasarkan hadith dari Anas Bin Malik yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari yang menyebut : "Nabi SAW tidak keluar di pagi hari raya 'Eidul fitri sehinggalah Nabi SAW menjamah beberapa biji kurma..."

Dari Buraidah berkata: “Nabi tidak keluar pada 'Eidul Fitri sehingga makan terlebih dahulu. Adapun pada 'Eidul Adha, maka beliau tidak makan sehingga pulang dan makan dari daging korban sembelihannya.” (Hasan, Riwayat Tirmidzi, Ibnu Majah, Ad-Darimi dan Ahmad)

4) Berjalan Kaki Menuju Tempat Solat Lapang

Dari ‘Ali berkata: “Termasuk sunnah ialah engkau keluar solat hari raya dengan berjalan kaki.” (Hasan. Riwayat Tirmidzi, Ibnu Majah dan dihasankan Syaikh Al Albani dalam Shahih Tirmidzi)

5) Menempuh Jalan Yang Berbeza ketika pergi dan balik solat.

Dari Jabir bin Abdillah berkata: “Rasulullah s.a.w apabila (pergi dan pulang) pada hari raya mengambil jalan yang berbeza.” (HR. Bukhari 986)

6) Memperbanyakkan Takbir Sejak Keluar Rumah Sehingga Solat

“Nabi s.a.w apabila pada hari raya 'Eidul Fitri, beliau bertakbir sehingga sampai tempat lapang (tempat didirikan solat hari raya) dan melaksanakan solat. Apabila selesai solat, beliau memutuskan takbirnya.” (HR. Ibnu Abi Syaibah dalam Al Mushannaf, lihat Ash Shahihah)

Dalam hadis ini terdapat dalil tentang disyari’atkan takbir secara kuat ketika berjalan menuju lapangan sebagaimana dikerjakan oleh kaum muslimin, sekalipun majoriti mereka sudah mulai meremehkan sunnah ini.

Seharusnya umat Islam jangan terlalu disibukkan dengan aktiviti persiapan raya sehingga meninggalkan peluang takbir ini. Ini adalah penting bagi syiar Islam selain kalimah Takbir yang dibenci oleh Syaitan. Ad-Dar Qutni melaporkan bahawa apabila Ibn Umar r.a keluar di hari raya 'Eidul Fitri, beliau akan berterusan bertakbir sehinggalah imam keluar untuk mengimamkan solat hari raya.

7) Mengucapkan selamat dan mendoakan antara satu sama lain

Tiada masalah untuk menggunakan apa jua kalimah, asalkan ianya mempunyai maksud yang sama. Bagaimanapun, kalimah yang digunakan di zaman baginda SAW adalah "Taqabbalallahu minna wa minkum" ertinya :" Semoga Allah menerima amalan (amalan dan ibadat di Ramadhan) kami dan kamu".

Disebut dalam sebuah riwayat :

Ertinya : Berkata Wathilah, Aku bertemu Rasulullah s.a.w pada hari raya dan aku katakan pada baginda "taqabbalallahu minna wa minka", baginda menjawab : Ya, taqabbalallahu minna wa minka"
( Al-Baihaqi, rujuk perbincangan di Fath Al-Bari, 2/446 )

8) Berziarah dan merapatkan hubungan baik sesama Muslim



Di petik dari posting dalam Naqib Net pada 17 September 2009

Thursday, September 17, 2009

Farag Najjar Dalam Kenangan




Syeikh Farag Najjar ini pernah ditemuramah oleh wartawan al-Jazeera mengenai pengalaman dakwahnya yang begitu panjang, termasuk ketika masuk pilihanraya 2000 sebagai calon. Malangnya, slot berkenaan tidak dapat ditayangkan. Al-Jazeera mendakwa bahawa kelapan-lapan tape temuramah tu telah dicuri.

Selepas kejadian itu, Syeikh menceritakan bahawa pada satu hari seorang Proffesor dari sebuah Universiti di Amerika telah datang mencarinya di rumahnya. Proffesor itu berkata kepadanya: “Aku menjumpai kelapan-lapan tape itu di pejabat Kongress Amerika. Aku berkata pada diriku, aku mesti jumpa Farag Najjar dan mencari sebab kenapa kelapan-lapan tape ini ada di sini, dan siapa agaknya Farag Najjar?

Apa istimewanya lelaki ini?

Dilahirkan pada tahun 1923 di Mayyit Khaqan, Bandar Syibin Kom, Mesir. Anak keempat dari lapan orang adik beradik di dalam sebuah keluarga yang sederhana. Ayahnya bekerja sebagi tukang kayu dan ibunya seperti mana-mana wanita Mesir, menumpukan sepenuh masa menjadi suri rumah mendidik anak-anak dan mengurus keluarga.

Seperti adik-beradiknya yang lain, beliau dididik dengan didikan agama sejak kecil. Kedua ibu bapanya menghantar mereka untuk menuntut ilmu dari kalangan ulama-ulama. Beliau menghafal al-Quran dan syair-syair Arab dari Syeikh Abdul Hamid Ghanim semasa kecil.

Mula mengikuti dakwah Ikhwan Muslimin sejak berusia 15 tahun setelah mengikuti beberapa tariqat sufi. Berbaiah dengan Hasan al-Banna ketika berusia 16 tahun pada tahun 1939.

Tidak dapat menyempurnakan persekolahan di peringkat menengah kerana kesempitan wang. Belajar secara tidak formal di rumah dan menumpukan dakwah Ikhwan sehingga berjaya menubuhkan cawangan Ikhwan di Mayyit Khaqan, kampungnya dan membawa penduduk di sana menjadi penyokong Ikhwan setelah sebelum ini mereka menyokong parti Wafd.

Terlibat dengan Nizam Khas Ikhwan (unit elit Ikhwan) pada tahun 1941 dan mengembangkannya sehingga wujud cawangan Nizam Khas di Manufiah, Qalyubiah, Gharbiah dan Kafr Syeikh. Beliau mengepalai Nizam Khas di kawasan-kawasan itu yang dipanggil Wasat Delta (keluasan gabungan beberapa negeri di Malaysia).

Seorang yang sangat aktif dan cekap melaksanakan tugasan sehingga Hasan al-Banna memintanya agar tidak berkahwin sehingga berumur 30 tahun setelah mereka mencari penggantinya. Di antara contoh kecekapannya adalah ketika Nizam Khas meminta beliau menyelinap masuk ke Parti Komunis Mesir untuk mendapatkan rahsia, beliau berjaya melakukannya dan mendapat kepercayaan dari Parti Komunis Mesir sehingga dilantik menjadi Sekretariat Parti Komunis Mesir cawangan Gharbiah. Beliau berjaya mematahkan usaha membunuh Hasan al-Banna oleh Parti Komunis Mesir.

Dipenjarakan pada Januari 1954 dan dikeluarkan dari penjara pada Mac 1954. Cuba untuk dipenjarakan buat kali kedua, tetapi Ikhwan memutuskan agar beliau lari untuk menjaga maklumat Ikhwan yang disimpannya. Bermula dari situ beliau hidup dalam pelarian selama 21 tahun, menyamar dan menyelinap tanpa dapat dikesan oleh rejim Jamal Abdul Nasir.

Menceritakan pengalamannya melarikan diri beliau berkata:

Pihak keselamatan datang ke rumahku buat kali pertama dan mengepungnya. Aku berkata kepada ibuku: “Sibukkan mereka untuk aku lari dari belakang.” Ibuku adalah seorang wanita yang buta huruf tetapi beliau mahir di dalam melarikan diri. Pihak keselamatan menyeru kami dan ibuku berkata kepada mereka: “Sabarlah sehingga penghuni rumah ini menyiapkan diri.” Ibuku memanggilku dan menyerahkan kepadaku semua emasnya untuk aku gunakan dalam pelarian. Aku melompat ke rumah jiran. Seekor anjing cuba menyerangku dan tuan rumah itu membunuh anjing itu. Beliau memberi aku pakaian dan aku kelar dri rumahnya memulakan perjalanan dari Januari 1954 sehingga Julai 1975.

Setelah itu aku berpindah dari satu tempat ke satu tempat. Aku menetap bersama manusia yang tidak dikenali langsung sebagai anggota Ikhwan. Adakalanya aku bersembunyi di tengah-tengah manusia yang tidak berjambang dan tidak solat di masjid. Hidup mereka terlalu biasa. Kadang-kadang aku berehat di rumah Menteri Dalam Negeri kerana tidak ada sesiapa pun yang akan menjangka aku akan berada di situ. Adakalanya suasana mendesak aku tidur di kawsan perkuburan setelah tidak ada lagi kawasan yang aman untukku. Segala puji bagi Allah, tempoh itu berlalu dengan selamat tanpa aku tertangkap. Itu semua adalah kurniaan dari Allah.

Pihak keselamatan memberikan tekanan kepadanya agar beliau menyerahkan diri. Antaranya adalah dengan cara memaksa keluarganya memeluk Kristian dengan cara memaksa mereka pergi ke gereja. Tetapi beliau terus menyembunyikan diri kerana merasakan maslahat menjaga rahsia Ikhwan lebih besar dari keselamatan ahli keluarganya. Ayahnya meninggal dunia setelah 15 tahun beliau bersembunyi. Beliau tidak dapat menghadiri majlis pengkebumiannya dan berasa amat sedih.

Di antara cerita semasa beliau menyembunyikan diri adalah ketika beliau mendapat peluang menziarahi ahli keluarganya, pihak keselamatan mendapat maklumat lalu mengepung rumahnya dan menyerunya keluar. Beliau mengambil sarang lebah lalu membiarkan lebah-lebah menggigit mukanya sehingga bengkak. Beliau selamat keluar dalam keadaan muka bengkak di celah-celah pihak keselamatan tanpa dicam.

Ketika pengampunan umum diumumkan oleh Anwar Sadat kepada semua anggota Ikhwan, semua diampunkan kecuali beliau. Semua anggota Ikhwan keluar menzahirkan diri kecuali beliau yang terus bersembunyi untuk tempoh dua tahun seterusnya. Kemudian beliau meminta izin dari Omar Telmesani, Mursyid Am Ikhwan ketika itu untuk menzahirkan diri, lalu Omar Telemesani membenarkannya seminggu sesudah itu.

Setelah menzahirkan diri, beliau berkahwin dan dikurniakan lima cahaya mata. Beliau terlibat aktif di dalam menyusun semula Ikhwan cawangan Manufiah.

Beliau meninggal dunia pada 9 September yang lepas (bersamaan 19 Ramadhan) dan dikebumikan sehari selepasnya dengan dihadiri oleh ribuan orang Islam.

Moga-moga Allah menerima segala amalnya dan melahirkan pengganti seumpamanya untuk umat ini.

Sunday, September 13, 2009

GAMBAR FAMILI BERSAMA MAK MERTUA



Gambar sempena Hari Raya 2004

TANGGAL 27 OGOS 2009

Selepas balik dari surau solat subuh pagi ni, aku mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Hari Lahir kepada isteriku. Seterusnya dengan nada memujuk,

“Umi , hari lahir Umi tahun ni ayah tak sempat nak beli apa-apa hadiah, ok ke ?”, kataku kepada isteriku dalam keadaan yang begitu tidak romantiknya.

“ Tak apa le, balasnya. Lagi pun dah banyak hadiah yang ayah dah beli kat Umi (Setelah ada Nani, kami memang membahasakan diri kami dengan Ayah dan Umi)”, jawab isteriku selamba aje.

Memang jadi kebiasaan untuk kami bertukar-tukar hadiah sempena hari lahir kami, kerana hari, lahir kami berselang 11 hari sahaja. Seronok juga berlumba-lumba merahsiakan hadiah-hadiah yang diberi terutamanya bila anak yang seorang tu ada sekali kat rumah. Dia le yang akan merencanakan hadiah-hadiah untuk Umi dan Ayahnya. Paling tidak pun kami akan ada makan malam yang istimewa bersama.

“Umi… tapi tak apa, petang ni kita ada iftar kat rumah Dr Mokhtar, kita sambutlah hari Lahir Umi dengan iftar Jama’i bersama sahabat-sahabat kita disana nanti”, kataku dalam nada memujuk walaupun ikhwah/akhawat tidak perasan pun tarikh hari lahirnya.

“ Tanya Mak kalau dia boleh ikut sekali”, kataku merujuk kepada emak mertuaku yang baru tiga hari berpuasa dirumahku. Emak mertuaku memang biasa kami bawa dalam program ziarah raya JIM dan program-program umum yang sesuai jika dia ada bersama kami.

“Ok, nanti Umi ajak dia” jawab isteriku ringkas.

“ Kalau emak tak nak pergi , Umi tak payah pergi le, berbuka aje le dirumah dengan mak”, saranku kembali. Emak mertuaku ni diakhir-akhir ni memang nampak murung dan dan tidak berapa sihat tapi amat phobia untuk dibawa jumpa doktor.

Aku pulak sepatutnya hari ini kena ‘outstation’ di KL ,ada mesyuarat di Kementerian Kewangan dari pagi sampai petang, tapi disaat akhir mesyuarat aku disebelah pagi dibatalkan dan aku mohon kepada rakanku yang akan hadir bersama dalam mesyuarat tu untuk aku tidak hadir dalam mesyuarat petang tu dan memadailah dia untuk hadir bagi pihak PKNPk dan dia akur. Kedua-dua mesyuarat itu penting untuk aku hadir bagi mendapat pengeluaran geran RMK9 untuk projek-projek yang aku kendalikan, tapi hasrat untuk bersama isteriku di hari lahirnya menjadi lebih aula aku rasakan pada hari tersebut.

Aku ke pejabat seperti biasa. Tapi dalam kepalaku berlegar-legar juga ingatan untuk memberikan sesuatu hadiah kepada isteriku. Aku minta saranan dari staf-staf ofisku akan cadangan hadiah-hadiah yang sesuai dan mudah diperolehi.

Tiba-tiba selepas aku balik ke bilik selepas ada perbincngan dengan Boss aku petang ni, staf aku memberitahu ku.

“Encik Aziz, masih nak ke beli hadiah untuk isteri En Aziz ? Tadi ada seorang pelajar dari Korea menjual ‘Brooch’ yang dibawanya dari Korea. Cantik-cantik ….”, kata salah seorang staf ku.

“ Mana dia ? “, kataku

“ Dia dah turun ke bawah jumpa dengan pelanggannya yang lain”, balas stafku yang bernama panggilannya Ally.

“ Ok, kalau Ally boleh cari dia bawa dia jumpa saya, saya nak tengok” , balasku.

Dengan segera beliau terus pergi mencari pelajar tersebut dan membawanya kepada ku dengan satu beg ‘brooch’ dari Korea . Dilambakkan ‘brooch’ tu atas meja dan aku bersama-sama staf-stafku memilihlah yang paling sesuai dan cantik untuk ku hadiahkan kepada isteriku. Ku pilih dua ‘brooch’ yang ku rasakan menarik dan sesuai untuk keberikan kepada isteriku. Salah seorang stafku yang agak kreatif menyediakan kotak hadiah yang direka khas untuk disikan ‘brooch’ tersebut. Lega rasanya dapat juga aku memberikan sesuatu kepada isteri hari ini.

Sebaik sampai sahaja dirumah, aku terus memberikan hadiah tersebut kepada isteriku.

Dengan nada gembira atau pura-pura gembira aku tak tahu le, tetapi isteriku memberi respon,

“ Hi… cantiknya bang, Umi tak pernah pun pakai ‘brooch’ macam ni”, jerit isteriku.

“ Mahal tu “, balas ku dengan nada separuh ikhlas ( he…he…hee).

Selepas itu perbualan kami menjurus kepada program iftar pada petang tu di rumah Dr Mokhtar.

“ Ayah, emak setuju nak ikut kita berbuka dirumah Dr Mokhtar”, kata isteriku.

“ Ok le, jam 6.45 petang kita bertolak dari rumah “, balasku kembali.

Sementara menunggu waktu pergi tu aku dan mak mertuaku mononton rancangan TV dan isteriku mengemas-ngemas ruang tamu rumah.

“ Mak… ini ada buku Mathurat hadiah dari kak Faezah sempena kenduri kahwin anaknya yang Nyong (saya dalam bahasa jawa) terjatuh dan tergeliat tangan masa nak pergi kendurinya”, kata isteriku semasa memberikan buku Mathurat tersebut kepada emaknya.

Emak ana ni cukup ingat akan Sheikh Selamat , suami kepada kak Faezah kerana masa kami nak pergi menunaikan haji pada tahun 2002, akhi Selamat dan Hj Ainol menghantar kami ke KL Kami tidak terus ke Kelana Jaya tapi menginap di Hotel Sheraton , Subang kerana perlu mendaftar diri jam 7.00 pagi sedangkan penginapan di Kelana Jaya penuh. Masa tu mak mertua ana pun hairan kenapa menginap di Hotel.

Setelah mendapat Mathurat dari anaknya, mak mertua ana terus mengambil cermin matanya dan terus membaca mathurat tersebut sehinggalah kami bertolak ke rumah Dr Mokhtar dalam keadaan hujan yang agak lebat. Semasa turun dari kereta di hadapan rumah Dr Fakhruldin jiran Dr Mokhtar ana agak risau juga bila mak mertua turun dari kereta dalam keadaan hujan renyai takut dia terjatuh tapi alhamdulillah dia dapat masuk ke rumah dengan selamatnya.

Sementara menunggu waktu berbuka aku sempat bertaaruf dengan anak-anak ahli-ahli usrahku terutama anak-anak akhi Mustafa yang agak baru bersama-sama kami. Semua ahli-ahli usrahku (Shukri, Selamat, Megat, Mustafa, Azim, Mokhtar) hadir bersama keluarga kecuali Khusairi yang ada program lain beliau sebagai SU Masjid Solatiah. Dr Fakhruldin jiran Dr Mokhtar dan sahabatku jua hadir bersama-sama kami.

Masuk sahaja waktu berbuka kami berbuka dengan buah kurma, kuih-muih dan air minuman. Kemudian yang lelaki solat Maghrib di surau taman tersebut manakala wanita solat dirumah.

Selepas solat Maghrib sementara menunggu anak-anak mengambil dahulu makan aku dikejutkan dengan panggilan dari kak Faezah, isteri akhi Dr Selamat.

“ Aziz, cuba tengok emak mertua anta kat dalam, dia jatuh tadi dan dah tak boleh bercakap.” Begitulah lebih kurang kata-kata kak Faezah kepada ku.

Aku pun masuk kedalam bilik dimana mak mertua aku ditempatkan iaitu diatas katil bilik bawah dirumah Dr Mokhtar. Aku mencari-cari dimana pulak isteriku sampai aku terpaksa dipanggil oleh akhawat untuk melihat mak mertuaku, sedangkan diluar tadi aku sedang asyik bersembang-sembang dengan sahabat-sahabatku. Rupanya isteri sedang menunaikan solat Maghrib.

Aku terus bertanya akhawat bagaimana dia jatuh. Aku dimaklumkan bahawa dia sedang menunggu giliran dibilik air untuk mengambil wuduk, tiba-tiba dia melurut jatuh. Mujur tidak jatuh terlentang. Akhirnya aku dapati mak mertua lemah anggota sebelah kanan dan tidak boleh berckap. Setelah isteriku selesai solat aku beritahu dia yang aku nak makan dulu sebelum tindakan seterusnya dibuat. Disebabkan ramai ikhwah/akhawat masa tu aku tak le panik sangat, lagi pun baru aje sebelum itu dia ok. Sambil aku makan, isteri dan beberapa akhawat menyuapnya makan dan mengurut-urut anggotanya.

Sambil makan, aku dan sahabat-sahabat berbincang akan tindakan yang seterusnya. Berbagai alternatif di cadangkan dan akhirnya aku memutuskan untuk membawa mak mertuaku ke Hospital Pantai.

Aku membawa Mak Mertuaku ke hospital bersama-sama pulangnya sahabat-sahabatku dan keluarga mereka dari rumah Dr Mokhtar. Aku, Dr Fakhruldin, Dr Mokhtar (mereka ni bukan Dr perbatan pulak ) tolong mengangkat Mak Mertuaku ke dalam kereta Matrix isteriku di tempat duduk belakang dalam keadaan dia yang longlai. Dalam perjalanan ke hospital bila tinggal kami bertiga sahaja, barulah aku terasa panik. Trafik di jalan raya aku rasakan terlalu perlahan dan mengganggu perjalananku dan lampu trafik yang terlalu lama merahnya kurasakan.

Kami sampai di Hospital Pantai lebih kurang jam 8.50 malam dan terus masuk ke klinik kecemasan dimana empat orang pembantu hospital terpaksa mengangkat mak mertua ke katil yang mereka bawa menghampiri kereta kami.

Maka bermulalah siri-siri dianogsis dijalankan oleh pihak hospital. Doktor pertama yang melihat mak mertuaku ialah seorang wanita India. Beliau memaklumkan bahawa mereka akan ambil darah , buat CT Scan dan juga X-Ray.

Aku bettanya pada Dr tersebut , “ Lama ke proses-proses dianogsis yang akan dijalankan”

“Tak lama . Di CT Scan hanya menunggu seorang pesakit saja lagi” , jelas dokotor tersebut.

Kami berdua pun berlegar-legar menunggu di ruang legar hospital berhampiran wad kecemasan dalam masa sama cuba menghubungi adik beradik dan saudara masa. Dalam keadaan yang getir begini isteriku tertinggal HPnya dirumah, manakala HP aku pulak dah ada signal habis bateri. Kalau dalam keadaan biasa ia bisa saja buat aku tension dan isteriku akan jadi mangsanya kerana lalai untuk membawa HP tapi berkat bulan Ramadan ni aku dapat mengawal emosiku. Aku pun menghubungi adik perempuanku yang tinggal di Rapat Setia untuk datang ke hospital untuk mengambil kunci rumah dan tolong mengambilkan HP isteriku. Adikku meminta suaminya (adik Iparku) yang sedang bekerja ‘overtime’ di TNB Lahat untuk membantu kami. Lebih kurang pukul 10.00 malam adik ipar ku datang dan kuberikan kunci rumahku untuk dia mengambil HP isteriku dan ‘charger’ HP ku. Sempat juga adik iparku berjumpa mak mertuaku dalam perjalanan pihak hospital membawanya keluar untuk CT Scan.

Setelah isteriku dapat HPnya maka bermulalah operasi menalipon adik beradik dan saudara mara terdekat. Aku pulak minta jasa baik kaunter hospital untuk cas HP ku. Sebelum itu dalam saki baki bateri HP ku yang masih ada , kami cuba menghubungi mereka tapi tak dapat kerana semuanya sedang bersolat terawih. Akhirnya dapat juga kami menghubungi abang dan kakak isteriku dan mereka bersedia untuk datang ke Ipoh. Setelah itu barulah isteriku yang tidak makan lagi setelah berbuka untuk makan makanan yang dibawa bekal dari rumah Dr Mokhtar.

Lebih kurang pukul 11.00 malam, Dr Loo seorang Dr pakar perubatan hospital ni memberi penjelasan kepada kami dianogsis yang telah dijalankan.

“Mak awak kena stroke”, kata Dr Loo.

“ Mild stroke ke Dr “, tanyaku kembali , untuk pengesahan lanjut dari Dr tersebut.

“ Stroke…” , katanya tegas.

Tapi tiada pendarahan dalan otak cuma ada ‘block’ aje “, katanya lagi.

Sebelum CT Scan Dr memaklumkan kalau ada pendarahan dia terpaksa merujukkan mak mertua aku ke Ipoh Speacialist, kerana mereka tidak ada kelengkapan untuk rawatan kalau ada pendarahan.

Dr Loo juga memaklumkan yang mereka akan memberi ubat untuk pencairan darah dan beberapa rawatan lain dan beliau mencadangkan agar mak mertuaku dimasukkan kedalam ICU untuk malam ini untuk mereka memantau dengan lebih rapi.

Tepat jam 11.45 malam jam mak mertuaku pun dibawa ke Wad ICU Hospital Pantai dan setelah itu kami telah tidak dibenarkan berjumpa beliau lagi dan kami dimaklumkan waktu melawat paling awal jam 7.30 – 8.30 pagi esok

Kami pun bersedia untuk balik kerumah. Sepanjang di hospital ni aku hanya berkain pelikat dan berbaju melayu sahaja, rilek le sikit. Sambil berjalan turun ni aku pun memberitahu isteriku yang kami perlu menyediakan minda untuk menguruskan mak yang akan terlantar ni sehingga dia pulih atau dipanggil oleh penciptaNya kembali. Isteriku ini masih ada 2 orang abang dan seorang kakak lagi.

Di luar lobby hospital abang iparku dan isterinya, kakak iparku dan seorang mak saudara isteri baru sampai dari Chederong Balai. Oleh kerana mak mertuaku dalam ICU pihak hospital tidak membenarkan lawatan dimasa bukan waktu melawat. Selepas itu kami semua menuju ke Warung Sabar Menanti untuk ‘supper’ sambil bercerita kepada mereka akan peristiwa yang berlaku atau menimpa mak.

Hampir pukul 1.00 pagi kami pun balik kerumah. Abang dan kakak ipar ku balik ke Chenderong Balai dan Teluk Intan. Dalam perlajanan balik ke rumah. kami hanya diam, mungkin masing-masing sedang memikirkan penyesuaian rutin kehidupan kami selepas ini. Sampai dirumah kami menunaikan solat Isya’ dan terus tidur.

Terdetik dihatiku, memikirkan inikah hadiah atau dugaan dari Allah swt untuk Ia mengujinya hambaNya agar lebih tertingkat amal dan kesabarannya terutama sempena Hari Lahir isteriku yang ke 45 tahun.

(Bagi aku pula semenjak tahun 1997, selalu merasa phobia dengan kehadran bulan Ramadan kerana semenjak tahun itu setiap kali bulan Ramadan arwah ayahku akan masuk hospital. Kemuncaknya pada tahun 1999 apabila dua minggu terakhir Ramadan kedua-dua ayah dan ibuku dimasukkan ke dalam hospital dan seminggu selepas raya ibuku dijemput oleh penciptaNya. Pada tahun 2001 pula setelah genap 13 bulan ibuku dipanggil penciptaNya, ayahku pula dijemputNya pada minggu kedua Syawal. Setelah ketiadaan keduanya, abangku yang kedua pula menggantikan tempat mereka untuk masuk hospital dengan sakit kncing manis dan jantungnya.)

Aku – aziz wok

13 September 2009